LAMAN UTAMA

PROGRAM JOM KE SEKOLAH "PAKAK MARI SEKOLAH"

PROGRAM JOM KE SEKOLAH "PAKAK MARI SEKOLAH"

Ahad,5 Februari 2017-SBPI Batu Rakit, telah melancarkan Program Jom Ke Sekolah Peringkat Sekolah. Program ini telah dirasmikan oleh INSP. Shahidatul Alyaa binti Nordin, Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik selaku Pegawai Perhubungan Sekolah.

Program ini telah dihadiri oleh semua guru serta pelajar SBPI Batu Rakit.

 

antara isi kandungan teks ucapan Ketua Polis Negara yang dibacakan oleh INSP Shahidatul Alyaa adalah:

TEKS UCAPAN

KETUA POLIS NEGARA POLIS DIRAJA MALAYSIA

 

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM JOM KE SEKOLAH

PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2017

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin-Nya, negara kita berada dalam keadaan aman dan damai.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

1.            Polis Diraja Malaysia (PDRM) begitu prihatin terhadap kejadian-kejadian jenayah dan salah laku dalam kalangan generasi muda, khususnya murid-murid sekolah.  Dalam hal ini pihak PDRM akan sentiasa memantau murid-murid yang terlibat dengan salah laku disiplin. Kejasama antara pihak sekolah dengan PDRM mampu membendung salah laku disiplin dalam kalangan murid daripada berleluasa.  Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sentiasa bersedia memberi khidmat kepada pihak sekolah tanpa mengira masa untuk membantu pihak sekolah dalam menangani masalah salah laku disiplin murid.

 

2.            Antara usaha yang dilakukan oleh (PDRM) khususnya PPS adalah untuk membantu mewujudkan sekolah selamat dengan menjalankan tanggungjawab yang digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). Antara tugasnya  termasuklah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan jika perlu, melakukan rondaan/lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan dengan hal-hal  keselamatan kepada warga sekolah.   Keselamatan sekolah sangat mempengaruhi suasana pembelajaran murid-murid.  Oleh itu, adalah diharapkan agar program-program yang dirancang boleh menyemai sikap kesedaran murid-murid terhadap tanggungjawab mereka kepada sekolah dan negara.

 

3.            Sehubungan dengan itu, PDRM akan sentiasa memberi komitmen kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani masalah disiplin dalam kalangan murid sekolah untuk melahirkan warganegara yang berdisiplin dan bersahsiah tinggi. Setiap PPS perlu lebih aktif, kreatif dan inovatif ke arah membentuk sahsiah murid. PPS bertanggungjawab mengawasi kadar jenayah yang berlaku di persekitaran sekolah serta membantu pihak sekolah memastikan murid-murid tidak melanggar peraturan dan undang-undang.

 

4.            PPS juga perlu membentuk satu mekanisme yang boleh mendorong dan meransang masyarakat sekolah untuk turut sama memainkan peranan dalam mencegah salah laku disiplin murid.  Menerusi mekanisme ini, PPS dapat memberi kesedaran kepada masyarakat sekolah berkaitan peranan yang boleh dimainkan oleh mereka serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diimplementasi dalam usaha mengekang kes salah laku disiplin murid dan menjayakan Program Jom ke Sekolah.

 

5.            Kerjasama antara PPS dan masyarakat sekolah dalam menjayakan Program Jom ke Sekolah ini akan dapat menangani sebarang isu atau masalah disiplin dalam kalangan murid melalui Peti Aduan Disiplin Murid yang diwujudkan di sekolah-sekolah. Selain itu, pemahaman dan pengetahuan masyarakat sekolah mengenai penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid perlu diterapkan agar dapat mempertingkatkan lagi kecekapan bertindak pihak sekolah terhadap masalah disiplin murid yang berlaku.

 

Akhir kata, saya berharap kewujudan PPS di sekolah-sekolah dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya pihak sekolah dalam mengatasi permasalahan yang berkaitan dengan isu disiplin murid.

 

Sekian, terimakasih.

 

Tan Sri Dato’ Sri Khalid Bin Abu Bakar

Ketua Polis Negara

Polis Diraja Malaysia.

 

turut dibacakan adalah teks ucapan dari Menteri Pendidikan Malaysia YB. Dato' Seri Mahdzir bin Khalid yang telah dibacakan oleh Bonda Pengetua Puan Hajah Hamidah binti Hussin.

TEKS UCAPAN PERASMIAN

MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

 

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM JOM KE SEKOLAH

PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

1.           Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Majlis Pelancaran Program Jom ke Sekolah Tahun 2017 pada hari ini.

 

2.           Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua sekolah kerana berjaya mengadakan majlis pelancaran ini. Bagi makluman hadirin sekalian, semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan program ini secara serentak pada 5 hb  dan 6 hb Februari  Tahun 2017.

 

3.           Sistem Pendidikan Negara telah mengalami evolusi penting seiring dengan Gelombang 2 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dengan tekad dan azam untuk terus berusaha melonjakkan kualiti pendidikan negara seperti yang dihasratkan.  Sesungguhnya transformasi pendidikan merupakan proses yang memerlukan komitmen yang tinggi secara berterusan daripada semua pihak. 

 

 

 

4.           Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kita sedia maklum bahawa sekolah sebagai agen sosialisasi utama bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar umbi supaya dapat memenuhi evolusi yang dilaksanakan. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi merangsang perkembangan  murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru, Program Jom ke Sekolah adalah sebahagian daripada usaha ke arah meningkatkan kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum sekolah serta pembinaan sahsiah murid yang mantap.

 

5.      Pengurusan disiplin di sekolah memerlukan komitmen daripada semua pihak agar kemenjadian murid akan lebih cemerlang. Dengan pelaksanaan program ini, diharapkan warga sekolah dapat memberikan saluran yang sesuai untuk menerima aduan dan menyelesaikan masalah yang berkaitan disiplin murid.  Oleh hal yang demikian, besarlah harapan saya agar pihak sekolah dapat menerima cadangan-cadangan yang membina untuk mengatasi permasalahan yang timbul dalam proses pengurusan disiplin murid di sekolah.

 

6.           Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, objektif Program Jom ke Sekolah ini adalah untuk mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih mantap antara pihak sekolah dengan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).  Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.  Seterusnya, program ini dilaksanakan untuk membugarkan kembali penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid di sekolah.

 

7.           Tuan-tuan dan puan-puan, pihak sekolah perlu sentiasa prihatin terhadap murid-murid. Pihak pentadbir sekolah seharusnya memastikan pengurusan disiplin sentiasa ditambah baik untuk meningkatkan proses perkhidmatannya.  Dalam hal ini kerjasama pihak polis dan sekolah sememangnya tidak dapat dipisahkan.  Kedua-dua pihak perlu berganding bahu bagi menangani masalah disiplin murid.

 

8.           Saya ingin  merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PDRM terutamanya Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan seluruh warga pendidik atas daya usaha untuk menjayakan Program Jom ke Sekolah.  Program Jom ke Sekolah merupakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) KPM bersama-sama PDRM melalui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

 

9.           Sukalah saya mengingatkan anak-anak agar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat, dan mengasah budaya kepimpinan kerana andalah merupakan aset negara yang bernilai pada masa hadapan. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit pada hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan.  Jauhilah perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, dadah serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri dan masa depan anak-anak sekalian. Sayangi diri, hormati ibu bapa dan guru- guru anda. Gunakanlah masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya kerana masa muda hanya sekali.   Oleh itu, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the best among you will survive and thrive.

 

10.       Dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim saya dengan ini merasmikan Program Jom Ke sekolah Peringkat Kebangsaan 2017.

 

Sekian.

 

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

 

 

YB. Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid

Menteri Pendidikan Malaysia

 

Kementerian Pendidikan Malaysia 

Add comment

Security code
Refresh

Additional information